MADINAH: Pusat Rawatan Madinah di bawah operasi Tabung Haji (TH) Madinah yang akan mula beroperasi hari ini (Isnin) dilengkapi pelbagai kemudahan perubatan dan doktor pakar.

Pengarah Operasi Madinah (Perubatan), Dr Mahyin Kudong berkata, pusat rawatan berkenaan dilengkapi kemudahan antaranya wad dengan kapasiti 33 katil, unit kecemasan, x-ray, fisioterapi dan makmal perubatan selain pakar pemakanan.

Beliau berkata, pusat rawatan yang beroperasi 24 jam di Hotel Roha al-Madinah melibatkan keseluruhan 53 petugas itu turut menempatkan doktor pakar kecemasan, bius, perubatan keluarga dan kesihatan awam.

"Pusat rawatan ini memperoleh kebenaran pengoperasian pusat kesihatan untuk jemaah haji dari kerajaan Arab Saudi.

"Antara lain, Pusat Rawatan Madinah ini boleh dikategorikan sebagai sebuah hospital rujukan daripada klinik-klinik yang terdapat di dua zon iaitu hotel penginapan jemaah haji Malaysia kerana kepakaran tertentu yang kita (Malaysia) ada," ujar beliau kepada pemberita pada sidang media, di sini.


Dr Mahyin Kudong

Menurut beliau, jika jemaah haji yang dibawa ke pusat rawatan berkenaan tidak dapat distabilkan dan memerlukan pemeriksaan lanjut atau pembedahan, pihaknya akan merujuk pesakit berkenaan ke hospital Arab Saudi.

Selain itu, Dr Mahyin berkata, pihaknya juga mempunyai pasukan perubatan terminal haji yang ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad bin Abdulaziz di Madinah.

Katanya, pasukan tersebut akan melakukan saringan kesihatan secara cepat terhadap jemaah haji yang tiba dari Malaysia sebelum mereka menaiki bas ke hotel penginapan masing-masing.

Beliau menambah, pada masa ini apa yang menjadi kebimbangan ialah cuaca yang tidak menentu terutamanya keadaan panas melampau yang menyebabkan berlaku masalah pernafasan, batuk, demam dan selesema selain mengundang masalah tekanan (stress) dalam kalangan jemaah.

Dalam hal ini, katanya, jemaah dinasihat untuk menjaga kesihatan fizikal dan mendapatkan nasihat dengan segera jika bimbang akan berlaku kemudaratan kepada tubuh badan.

"Apa yang paling penting ialah minum air dengan cukup terutamanya air Zam-Zam bagi mengelakkan terjadi kekurangan air dalam badan. Jemaah juga dinasihat untuk tidak mendedahkan diri dalam cuaca yang panas terik untuk memastikan tidak berlaku masalah strok haba.

"Begitu juga, jemaah turut diminta untuk menjaga kebersihan bagi mengelakkan berlaku cirit-birit dan keracunan,"ujar Dr Mahyin.

Ditanya mengenai wabak COVID-19 pua, Dr Mahyin berkata, ia kini diisytihar sebagai "rampant" iaitu ia berada di mana-mana termasuk di Arab Saudi.

Di sebalik itu, kesemua 31,600 jemaah Malaysia tetap diminta untuk menjaga diri masing-masing dalam menangani penularannya dan bersedia untuk memakai pelitup muka jika diperlukan atau dinasihat berbuat demikian.

Penerbangan pertama jemaah haji negara akan bermula 9 Mei ini manakala penerbangan terakhir adalah 9 Jun 2024.

Hari wukuf bagi musim haji tahun ini adalah pada 9 Zulhijah atau bersamaan 15 Jun 2024.

Sebanyak 100 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa jemaah haji negara melibatkan syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudi Airlines.